PETUGAS kesihatan menunggu kira-kira tiga jam namun tiada seorang kanak-kanak di Pulau Timbang yang hadir mendapatkan suntikan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
PETUGAS kesihatan menunggu kira-kira tiga jam namun tiada seorang kanak-kanak di Pulau Timbang yang hadir mendapatkan suntikan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Selepas menunggu dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah, tiada seorangpun ibu bapa membawa anak mereka untuk mendapatkan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Pulau Timbang, hari ini.

Pengorbanan petugas kesihatan yang menempuh perjalanan laut kira-kira setengah jam ketika hujan untuk menjalankan PICKids di pulau itu bagaikan sia-sia susulan sambutan terlalu hambar.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, pihaknya sangat terkejut kerana perkara itu tidak pernah berlaku sepanjang menjalankan PICKids ke pulau di Sandakan.

"Saya berasa sangat kecewa dan rasa agak terkejut kerana tiada sambutan langsung pada hari ini oleh kanak-kanak di kampung ini walaupun saya sendiri tadi sudah membuat pengumuman melalui pembesar masjid.

"Saya sendiri juga sudah pergi rumah ke rumah untuk memberi penjelasan kepentingan vaksin kanak-kanak. Tetapi, nampaknya sambutan itu tidak baik.

"Daripada sepuluh lokasi yang kita datang , inilah kali pertama tiada kanak-kanak yang datang langsung," katanya dalam sidang media di Pulau Timbang, Sandakan, hari ini.

Menurutnya, jika satu hari nanti ibu bapa di pulau itu terbuka hati mendapatkan vaksin untuk anak mereka, mereka diminta hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) IJM Sandakan atau hadir ke klinik-klinik kesihatan di Sandakan.

"Apa yang saya hendak nasihatkan kepada penduduk dan kanak-kanak di sini ialah, kalau bertukar fikiran untuk mengambil vaksin bolehlah datang ke klinik kesihatan kita yang berada di bandar Sandakan dan juga di Dewan PPV IJM," Katanya.

Dr Johari berkata, walaupun hasil program PICKids di Pulau Timbang sangat mengejutkan, pihaknya tidak akan berputus asa.

"Kita akan tetap mempromosikan kepada mereka, kami tidak akan rasa letih dan rasa penat, kami tidak akan rasa kecewa sehingga tidak menggerakkan langsung aktiviti PICKids.

"Pihak kami akan teruskan lagi untuk memperkasa dan juga meneruskan hebahan kita kepada masyarakat khasnya di Pulau Timbang," katanya.

Menurutnya, setakat ini Sandakan hanya mencatatkan 13.46 peratus daripada 46,800 orang kanak-kanak yang layak diberikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:05 PM