DR Taufiq bertemu Ketua PPV ketika mengadakan lawatan ke PPV-IPT UMS.
DR Taufiq bertemu Ketua PPV ketika mengadakan lawatan ke PPV-IPT UMS.
Suliati Asri


Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengaktifkan semula operasi Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV-IPT) UMS bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 sejak 11 Januari lalu sebagai usaha menangani ancaman varian Omicron serta peningkatan kes yang direkodkan di Sabah yang mencecah tiga ke empat ribu setiap hari.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, sehingga kini sejumlah 1,913 suntikan vaksin dos penggalak jenis Pfizer sudah diberikan, merangkumi 179 dos kepada kakitangan UMS, 1183 dos kepada pelajar UMS serta 550 kepada orang awam di sekitar Kota Kinabalu.

"PPV-IPT UMS beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang bagi memberikan 100 dos suntikan vaksin dos penggalak setiap hari kepada orang awam berumur 18 tahun ke atas.

"UMS melihat pengambilan dos penggalak ini sangat penting untuk melindungi masyarakat dari kesan penyakit Covid-19 terutama dengan varian Omicron yang semakin menular dalam kalangan komuniti.

"Justeru, pengaktifan semula PPV-IPT UMS ini adalah satu langkah UMS untuk memperluaskan pemberian vaksin kepada masyarakat, sekali gus mengawal penularan serta mengurangkan peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini," katanya.

Menurut Dr Taufiq, adalah amat penting setiap lapisan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak bagi meningkatkan daya tahan badan serta memanjangkan imuniti terhadap penyakit Covid-19.

"Untuk itu, PPV-IPT UMS juga akan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) melalui pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun.

"Difahamkan kurang dari 10 peratus daripada 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di negeri ini sudah mendapatkan suntikan vaksin, justeru usaha ini diharap mampu meningkatkan peratusan pengambilan vaksin oleh golongan terbabit," katanya.

Dr Taufiq berkata, melihat kepada statistik yang menunjukkan 604 kes positif membabitkan kanak-kanak bawah 11 tahun daripada 5,082 kes yang dicatatkan di Sabah 16 Februari lalu, amat wajar untuk kanak-kanak mendapatkan vaksin secepat mungkin.

"Bagi kanak-kanak, suntikan dos vaksin jenis Pfizer yang diberikan hanya 0.2 mililiter (ml) iaitu satu pertiga daripada jumlah dos orang dewasa. Oleh itu, diharapkan ibu bapa tidak merisikokan kesihatan anak-anak dengan memberi sokongan terhadap PICKids.

"Pada masa ini, PPV-IPT UMS masih di peringkat pengumpulan permohonan bagi pemberian suntikan vaksin untuk kanak-kanak dan dijangka mula melaksanakan PICKids pada penghujung Februari ini," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan atau janji temu bagi mendapatkan dos pengga

lak vaksin Covid-19 jenis Pfizer dan permohonan vaksin untuk kanak-kanak, boleh menghubungi PPV-IPT UMS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:55 AM