SULTAN Mizan Zainal Abidin. FOTO Arkib NSTP
SULTAN Mizan Zainal Abidin. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar


SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan semua masjid dan surau di seluruh negeri melaksanakan aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan berjemaah lima waktu, berkuat kuasa Jumaat ini.

Bagaimanapun, Sultan Mizan menitahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), terutama penjarakan sosial satu meter antara jemaah perlu diutamakan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat dan lima waktu perlu mengikut keluasan masjid serta surau.

Bagaimanapun, baginda bertitah warga asing dan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

"Jemaah perlu mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan, terutama penjarakan sosial seperti ditetapkan kerajaan.

"Mereka perlu memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan bersentuhan termasuk bersalaman antara satu sama lain sepanjang berada dalam masjid dan surau," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.

Osman berkata, Sultan Mizan menitahkan supaya individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak serta penghidap penyakit kronik tidak hadir ke masjid.

Beliau berkata, Sultan Mizan turut menitahkan jemaah tidak berkumpul selepas menunaikan solat dan diminta mengambil wuduk sebelum ke masjid selain membawa sejadah sendiri.

"Solat sunat tidak dibenarkan sepanjang berada dalam masjid dan surau melainkan solat tahiyatul masjid.

"Sultan Mizan turut menitahkan jawatankuasa masjid dan surau memastikan pengaliran udara dalam ruang solat hanya melalui tingkap serta penggunaan kipas angin," katanya.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diberi kuasa mengambil tindakan untuk menangguhkan solat Jumaat dan solat berjemaah jika jawatankuasa masjid dan surau gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Baginda menitahkan semua jawatankuasa masjid dan surau serta ahli jemaah memainkan peranan bagi memastikan semua arahan serta peraturan ditetapkan dipatuhi sewajarnya agar amal ibadat dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berjalan dengan baik.

"Baginda juga mengharapkan semua rakyat terus mematuhi arahan pihak berkuasa dalam memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 7:55 PM