JEMAAH masjid sebelum menunaikan solat Jumaat  di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. FOTO Farizul Hafiz Awang
JEMAAH masjid sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. FOTO Farizul Hafiz Awang
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Solat Jumaat di semua masjid di negeri ini dibenarkan mengikut keluasan masjid, berkuat kuasa esok.

Selain itu, solat fardu, solat jenazah dan solat sunat Aidiladha juga turut dibenarkan berdasarkan keluasan masjid serta surau.

Kebenaran pelaksanaan solat di masjid dan surau itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, susulan perluasan aktiviti keagamaan dalam tempoh fasa dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, kehadiran jemaah hanya dibenarkan kepada ahli qariah yang bermastautin dan warganegara kecuali mendapat kebenaran Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri.

Katanya, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau dihadkan hanya kepada jemaah lelaki.

"Jawatankuasa masjid dan surau diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Sultan Mizan juga menitahkan semua imam masjid membaca Qunut Nazilah ketika melaksanakan solat Jumaat selain meminta semua masjid dan surau mengadakan solat sunat hajat setiap kali selepas solat Jumaat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua imam dikehendaki membaca teks doa Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan berdoa memohon dijauhi dari wabak penyakit yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Osman berkata, semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin setiap malam selepas solat Maghrib secara berjemaah.

"Aktiviti lain di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada MAIDAM.

"Masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18, (1), (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan," katanya.

Osman berkata, Sultan Mizan menyeru rakyat terutama muslimin dan muslimat untuk bersama bermunajat, berzikir dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:16 PM