Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang remaja lelaki tidak dapat menahan sebak selepas bapanya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun hari ini, atas kesalahan mengambil dadah berbahaya jenis morfin tahun lalu.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu dilihat mengesat air mata bersama ibunya sejurus keluar dari kamar mahkamah selepas prosiding selesai.

Malah, sebelum prosiding bermula, remaja berusia 13 tahun itu dilihat berbual dengan bapanya di kandang tertuduh.

Terdahulu, kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan pada hari ini namun tertuduh, Rosli Saat, 55, dari Bandar Hilir dekat sini, memberitahu mahkamah dia mahu menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan, pada 10.30 pagi 15 Februari lalu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, tertuduh didapati memasukkan ke dalam diri sendiri dadah jenis morfin, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh juga mempunyai dua rekod kesalahan di bawah seksyen sama dan dikenakan dua perintah pengawasan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada 13 Julai 2017 dan pada 11 November 2016.

Oleh itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan tiga sebatan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Februari 2021.

Katanya, dia seorang OKU fizikal kerana kemalangan dan berkerja sebagai penjaga parkir kenderaan serta mempunyai tujuh anak.

"Isteri saya menghidap penyakit antaranya darah tinggi dan jantung.

"Saya pohon jasa baik mahkamah agar beri saya peluang dan Insya-Allah, saya akan ubah cara hidup tanpa dadah," katanya.

Pendakwaan berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan.

Hakim Nariman Badruddin dalam penghakimannya menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Namun tiada sebatan dikenakan kerana usia tertuduh melebihi 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 1:42 PM
Tertuduh Rosli Saat, 55, (depan) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan berulang, mengambil dadah berbahaya jenis morfin tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh Rosli Saat, 55, (depan) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan berulang, mengambil dadah berbahaya jenis morfin tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad