Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pekerja pasar borong dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, tadi, kerana memiliki 40.21 gram dadah methamphetamine dua tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nurulhaswaze Sahaadan, 38, selepas menimbangkan rayuan peguam serta hujah pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki dadah berbahaya methamphetamine di hadapan kedai dobi di Paya Rumput, di sini, pada 8.30 malam 20 Mei 2020.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, kira-kira 2 pagi, 21 Mei 2020, tertuduh didapati menagih dadah amphetamine dan methamphetamine dan melakukan kesalahan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Tertuduh turut mempunyai dua rekod dikenakan perintah pengawasan oleh Mahkamah Majisret Melaka pada 20 Julai 2016 dan 4 September 2019.

Oleh itu, dia boleh dihukum minimum lima tahun penjara dan maksimum tujuh tahun dan tidak lebih tiga sebatan mengikut Seksyen 39C(1)(b) ADB 1952, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam Kumari Bala yang merayu hukuman ringan berkata, anak guamnya berstatus orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya pada 1999 yang menyebabkan kaki kanannya cedera teruk.

"Bagi pertuduhan pemilikan dadah ia berlaku ketika permulaan pandemik Covid-19 dan tertuduh amat terdesak untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga kerana tiada kerja tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:52 PM
Tertuduh, Nurulhaswaze Sahaadan,38, mengaku bersalah memiliki dadah methamphetamine, berat bersih 40.21 gram dan memberikan dadah kepada diri sendiri, dua tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Nurulhaswaze Sahaadan,38, mengaku bersalah memiliki dadah methamphetamine, berat bersih 40.21 gram dan memberikan dadah kepada diri sendiri, dua tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad