JALAN menghubungkan Bayan Lepas dan Balik Pulau kelihatan mendap dipercayai akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. FOTO ihsan pembaca.
JALAN menghubungkan Bayan Lepas dan Balik Pulau kelihatan mendap dipercayai akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. FOTO ihsan pembaca.
Zuhainy Zulkiffli


TEBING cerun Jalan Persekutuan antara Jalan Bayan Lepas dan Balik Pulau, yang mendap tidak membabitkan jalan utama dan masih selamat digunakan.

Tebing cerun terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu itu akan dibaiki segera bagi kegunaan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengurangan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, sehingga kini Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan mengenainya dan kerja pembaikan akan dijalankan segera.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerja pembaikan tidak membabitkan laluan utama di kawasan itu.

“Tebing cerun itu adalah ruang tambahan digunakan bagi keadaan kecemasan dan bukannya laluan utama dilalui pengguna.

“Bagaimanapun, jalan berkenaan tidak ditutup kerana hanya sedikit sahaja terjejas,” katanya dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Semalam, beberapa pengguna laluan terbabit berkongsi gambar keadaan terkini tebing cerun berkenaan yang mendap walaupun selepas dibaiki baru-baru ini.

Tebing cerun di laluan itu pernah runtuh pada Oktober tahun lalu dan hanya laluan satu hala sahaja dibuka kepada kenderaan ringan.

Kerja pembaikan tebing itu membabitkan kira-kira RM1.7 juta peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Jalan Bayan Lepas ke Balik Pulau adalah satu daripada tiga laluan utama menghubungkan Georgetown dan Balik Pulau selain Jalan Teluk Bahang dan Jalan Tun Sardon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 10:12 PM