KEADAAN jalan yang rosak akibat banjir puing di Bentong semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KEADAAN jalan yang rosak akibat banjir puing di Bentong semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

Kuantan: Jalan Persekutuan FT68 iaitu Jalan Lama Gombak-Bentong bagi Seksyen 43.00 ke 43.40 dan Jalan Pintasan Bukit Tinggi Seksyen 1.98 hingga 2.58 di Bentong dekat sini, ditutup kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 1 Dis ini ekoran kerosakan struktur jalan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong menerusi kenyataan dimuat naik di laman sosial memaklumkan penutupan jalan tersebut yang terletak berhampiran simpang tiga Janda Baik bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna.

Sehubungan itu, mereka yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju ke stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi.

Pengguna diminta mematuhi papan tanda disediakan dan boleh menghubungi pejabat JKR Bentong di 09-2224040 untuk pertanyaan.

Jalan tersebut antara lokasi terlibat dalam kejadian banjir puing yang berlaku selama tiga jam bermula 8 malam semalam yang menyebabkan berlaku aliran air membawa batu-batan dan enapan selain terdapat pokok tumbang.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menerusi kenyataan di laman sosial memaklumkan selain keretakan jalan, kejadian itu juga menyebabkan runtuhan cerun dan kerosakan harta benda penduduk yang boleh menjejaskan aktiviti harian serta ekonomi mereka sebagai kawasan pelancongan.

Justeru, beliau memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian menyeluruh bagi kerja mitigasi yang diperlukan khususnya di kawasan berisiko seperti Bukit Tinggi dan Janda Baik, selain siasatan lanjut untuk melihat jika terdapat kejadian seperti penerokaan haram di situ.

"Dalam masa sama, kerja baik pulih segera cerun dan jalan serta kerja pembersihan dan mendalamkan sungai akan dilaksanakan JKR serta JPS buat sementara waktu sebelum pelan baik pulih jangka panjang dilakukan," katanya.

Young Syefura berkata, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad juga telah meninjau lokasi kejadian pada pagi tadi, selain turut mengadakan mesyuarat tergempar dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, JPS menerusi kenyataan memaklumkan banjir puing itu berlaku disebabkan hujan selama tiga jam dengan keamatan sederhana iaitu antara 23.5 dan 53.0 milimeter (mm) yang mengakibatkan beberapa rumah dan permis perniagaan dinaiki air dengan purata kedalaman 0.3 hingga 0.6 meter sebelum surut pada 11.30 malam hari sama.

"Selain itu, banjir di lokasi berkenaan berpunca daripada kejadian kepala air yang membawa batu-batan dan enapan serta menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat mengakibatkan aliran anak Sungai Tanglir melimpah ke jalan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan kawasan terlibat adalah antara kawasan yang termasuk dalam kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Daerah Bentong, yang merupakan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:02 PM