JALAN lama Bentong Raub ditutup kepada  semua  kenderaanraan  apabila berlaku tanah runtuh  sepanjang 50 meter pada 11.50 pagi tadi. FOTO IHSAN JKR BENTONG
JALAN lama Bentong Raub ditutup kepada semua kenderaanraan apabila berlaku tanah runtuh sepanjang 50 meter pada 11.50 pagi tadi. FOTO IHSAN JKR BENTONG
BERNAMA

Kuantan: Hujan lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan beberapa jalan di Pahang terpaksa ditutup akibat tanah runtuh atau dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, Jalan Raub-Bukit Fraser ditutup kepada semua kenderaan pada tengah hari ini ekoran tanah runtuh di Kilometer 4 dan Kilometer 6 yang menyebabkan laluan di lokasi itu terhalang oleh longgokan tanah serta pokok tumbang.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu. Buat masa ini pihak berwajib sedang melakukan kerja pembersihan jalan, serta meletakkan papan tanda amaran bagi menghalang pengguna jalan raya memasuki laluan itu," katanya semasa dihubungi, di sini, hari ini.

Di Bentong, Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan jalan lama Bentong-Raub juga ditutup kepada semua pengguna jalan raya ekoran tanah runtuh berhampiran Sang Lee sekitar 11.50 pagi tadi, yang menyebabkan ia terputus dua.

Sementara itu, laluan Kilometer 198 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) antara Gambang dan Sri Jaya, di sini, yang dinaiki air pagi tadi, dibuka semula pada 3.30 petang kepada semua kenderaan.

Pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataan media memaklumkan dua lorong ke arah Timur dibuka sepenuhnya manakala bagi laluan ke Kuala Lumpur, hanya lorong laju dibenarkan dilalui kenderaan buat masa ini.

"Pengguna lebuh raya diminta untuk patuh kepada arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa di Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, 15 jalan di daerah Maran ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan akibat dinaiki air.

Antaranya ialah jalan di sekitar bandar Maran dan bandar Sri Jaya yang dinaiki air mulai pagi ini, selain jalan di sekitar Felda Jengka iaitu di Jengka 3, Jengka 5, Jengka 8, Jengka 13, Jengka 15 dan 16 serta di laluan ke Kolej Matrikulasi Jengka.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan peka dengan pengumuman dan amaran pihak berkuasa mengenai penutupan jalan ini kerana hujan yang masih berlaku berkemungkinan menyebabkan lebih banyak jalan terpaksa ditutup untuk keselamatan.

"Kita berharap semua pengguna jalan raya dapat mematuhi arahan dan tidak mengambil risiko untuk menyeberangi jalan kerana dikhuatiri membawa kepada kejadian tidak diingini," katanya.

Norolazali berkata, di Jerantut, empat Jalan Persekutuan yang ditutup ialah Jalan Jerantut-Maran, Jalan Padang Piol-Sungai Rentang, Jalan Kota Gelanggi dan Jalan Ulu Retang ke Merting.

Selain Jalan Ulu Gali dan Jalan Ulu Jelu di Raub serta Jalan Pintasan Kampung Aur, Jalan Simpang Sepayang dan Jalan Paya Sepayang di Rompin turut ditutup kerana dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 5:59 PM