GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kebenaran penganjuran bazar Ramadan tahun ini dilihat tepat sebagai platform masyarakat menjana pendapatan sampingan selepas terkesan disebabkan Covid-19.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, graduan, suri rumah dan individu yang hilang pekerjaan disaran merebut peluang ini untuk berniaga dalam skala kecil, namun mampu menjana pendapatan.

Beliau berkata, golongan terkesan disebabkan Covid-19 boleh meraih pendapatan sampingan dan pada masa sama meningkatkan semula ekonomi isi rumah.

"Kebenaran penganjuran oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) semalam adalah tepat kerana kini ekonomi perlu dibina semula selepas ranap disebabkan pandemik.

"Bazar Ramadan adalah platform sesuai untuk masyarakat mula berniaga dengan modal kecil, namun tetap boleh meraih keuntungan," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap memberikan sedikit kelonggaran kepada peniaga kecil untuk berniaga selagi mematuhi prosedur ditetapkan.

Katanya, selain bulan ibadah, Ramadan adalah tempoh sesuai untuk berniaga memandangkan ramai akan berbelanja khususnya kelengkapan Aidilfitri.

"PBT diharap 'bagi muka' sedikit kepada peniaga kecil asalkan mereka patuh kepada prosedur dan tidak mengganggu laluan selain menjaga kebersihan.

"Ini tempoh mereka yang tersepit cuba mencari pendapatan dan diharap semangat Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan semua pihak," katanya.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bazar akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 4:16 PM