Peniaga, penjaja bazar Ramadan perlu patuh SOP.
Peniaga, penjaja bazar Ramadan perlu patuh SOP.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peniaga dan penjaja bazar Ramadan dan Aidilfitri diingatkan supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika berniaga.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, peniaga perlu sentiasa patuh supaya tidak wujud kluster bazar Ramadan dan Aidilfitri sehingga menganggu operasi perniagaan.

Menurutnya, peluang yang diberikan kerajaan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk mengembalikan semula pendapatan yang hilang sejak setahun lalu.

"Peniaga sudah diingatkan untuk patuh SOP dan tidak sesekali mengabaikannya demi mengaut keuntungan besar sepanjang Ramadan ini.

"Peluang ini sudah dinantikan sejak setahun lalu yang terjejas kerana Covid-19 dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, peniaga bazar Ramadan tahun ini perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli kelengkapan perniagaan yang mematuhi SOP.

Katanya, peniaga kini diwajibkan memakai perisai wajah, apron dan sarung tangan pakai buang selain pelitup muka sepanjang operasi.

"Kos operasi akan meningkat dan diharap pihak berkuasa tempatan dapat memberi subsidi untuk meringankan beban peniaga.

"Ramai peniaga baharu yang mencuba nasib berniaga di bazar tahun ini dan mereka sudah pasti sedikit terkesan dengan peningkatan kos ini," katanya.

Kerajaan sebelum ini memberi kebenaran bazar Ramadan dan Aidilfitri dibuka dengan pematuhan SOP ketat supaya tidak mencetuskan kluster baharu Covid-19.

Keputusan itu ternyata melegakan peniaga kecil yang menantikan Ramadan untuk melipatgandakan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 4:34 PM