TAPAK projek rumah baharu mangsa banjir Kampung Iboi pada 4 Julai lalu di Desa KEDA Kampung Sadek yang belum dimulakan. FOTO Safuri Kamarudin
TAPAK projek rumah baharu mangsa banjir Kampung Iboi pada 4 Julai lalu di Desa KEDA Kampung Sadek yang belum dimulakan. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Dua belas unit rumah baharu yang dijanjikan kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal di Kampung Iboi di sini, dalam fenomena kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu masih belum dilaksanakan.

Tinjauan ke tapak baharu di Desa Keda Kampung Sadek di sini, mendapati kerja menimbun dan meratakan tanah masih dijalankan dan tiada sebarang struktur bangunan didirikan.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi Nor Mohamad Hussain, 59, berkata, keadaan di tapak projek mendapati proses pembinaan belum dijalankan.

Menurutnya, dia khuatir kediaman itu tidak akan siap seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada Disember ini dan akan memberi kesan kepada penduduk.

"Sewa rumah yang didiami penduduk sekarang dibayar oleh kerajaan negeri sebanyak RM500 sebulan termasuk bil elektrik dan air selama enam bulan.

"Sekiranya rumah baharu tidak siap pada Disember ini, penduduk terpaksa membayar sewa rumah sendiri sedangkan kebanyakan kami hanyalah bekerja kampung dan mengharapkan anak-anak untuk kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui.

Nor Mohamad berkata, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 4 Ogos lalu merasmikan majlis pecah tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Puing di kawasan itu.

Rumah terbabit dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dan turut mendapat kerjasama penuh daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Bagi Abd Rahman Said, 71, pula menyewa di Taman Bayu Indah di sini, selepas rumah yang didiami di Kampung Iboi dihanyutkan arus dan turut mengorbankan isterinya, Salmah Mat Akib, 53; anak tiri, Muhammad Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya yang sedang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23.

Menurutnya, dia tinggal seorang diri dan kerap pulang ke rumah anaknya di Kampung Bukit Iboi agar tidak berasa terlalu sunyi.

"Rumah yang saya sewa sekarang agak jauh, sekiranya rumah di Desa Keda Kampung Sadek ini dapat disiapkan pada Disember ini, saya pasti lebih gembira dapat kembali tinggal bersama penduduk kampung yang senasib.

"Sekarang ini saya hidup hasil ihsan anak-anak, mereka yang banyak membantu," katanya.

Abd Rahman berkata, rumah yang dijanjikan kerajaan negeri agak mustahil untuk disiapkan pada Disember ini kerana tinggal sebulan lagi.

"Bagaimana, sekiranya rumah itu tidak siap seperti dijangkakan saya amatlah berharap kerajaan negeri membantu membayar sewa rumah sehingga rumah dapat diduduki," katanya.

Menurutnya, ada penduduk yang mempunyai kebun getah namun tidak dapat keluar bekerja dengan cuaca tidak menentu dan kerap hujan setiap petang.

"Pokok getah, tanaman seperti jagung, pisang, durian dan lain-lain yang menjadi sumber pendapatan penduduk turut musnah dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 12:55 PM