Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas ketika mendarat di kawasan landasan Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Pulau Pinang, malam ini.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan, insiden berlaku pada 10.07 malam.

"Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung kemalangan ini.

"Semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita tidak sahih," katanya.

TWITTER Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai kejadian.
TWITTER Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai kejadian.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Twitternya memaklumkan beliau menerima berita kejadian membabitkan Hawk 108 itu daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi cedera dan TUDM diarahkan segera memberikan laporan lebih terperinci dan menyiasat punca kejadian.

"Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.

"Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat," ciapnya.

INSIDEN pesawat Hawk terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth. FOTO Bernama
INSIDEN pesawat Hawk terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth. FOTO Bernama

Berita berkaitan

Saksi dengar letupan kuat sebelum lihat api marak

Identiti, status dua juruterbang pesawat Hawk dikenal pasti

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 12:04 AM