Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima empat helikopter Leonardo AW 139 bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang telah ditamatkan operasi, tiga tahun lalu.

Sehingga kini, tiga daripada empat helikopter itu sudah diterima dan sebuah lagi dijadualkan pada Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, helikopter itu diperoleh secara sewaan daripada sebuah firma swasta sebagai langkah jangka pendek.

"Sewaan helikopter AW 139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab antaranya menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasi (selepas 50 tahun penggunaan) selaras dengan keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019.

"Pada masa sama, adalah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan helikopter EC725AP yang mana kabinet pada 22 Januari 2020 bersetuju memilih helikopter AW 139 menggunakan kaedah jangka pendek secara sewaan dan menerusi kaedah jangka sederhana untuk perolehan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika lawatan kerja sempena Program Pengenalan Pesawat AW139 di TUDM Butterworth di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengoperasian keempat-empat helikopter akan dikendalikan oleh Skuadron No 3 dan kerajaan menggunapakai kaedah 'Government Operate, Company Own and Maintain' (GOCOM) bagi penggunaan aset itu.

HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Koperal Udara Mohamad Hazrin Asrizad Zainudin, 30, (kiri) bersama keluarganya yang menghuni RKMAT Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Danial Saad.
HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Koperal Udara Mohamad Hazrin Asrizad Zainudin, 30, (kiri) bersama keluarganya yang menghuni RKMAT Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Danial Saad.

"Ia pendekatan yang amat diperlukan ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik, selain tempoh masa untuk proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan," katanya.

Jelasnya lagi, AW 139 dipilih kerana kemampuan pesawat itu untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik kepada TUDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

"Pada masa sama, helikopter AW 139 ini turut berkeupayaan untuk melaksanakan peranan dan tugas 'utility fleet' helikopter TUDM serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam," katanya.

Selain program pengenalan pesawat, Hishammuddin turut meninjau Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) yang selesai dinaik taraf.

Katanya, sebanyak 288 unit RKMAT di Pangkalan Udara Butterworth telah digabungkan menjadi 144 unit, yang mana 60 unit siap di bawah Fasa Tiga, manakala Fasa Empat membabitkan penggabungan 168 unit menjadi 84 unit.

HISHAMMUDDIN (dua kiri), Ackbal (dua kanan) dan Muez (kanan) bergambar pada majlis pengenalan helikopter AW139. FOTO Danial Saad.
HISHAMMUDDIN (dua kiri), Ackbal (dua kanan) dan Muez (kanan) bergambar pada majlis pengenalan helikopter AW139. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:03 PM