FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Putrajaya: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan, tertakluk kepada keputusan pihak universiti itu sendiri, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam kenyataan hari ini berkata IPT juga perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan penuntut yang hadir secara fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.

Ia susulan pengumuman kerajaan semalam yang membenarkan kemasukan penuntut IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan penuntut 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

"Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada penuntut untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus," kata KPT.

KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan penuntut menjadi keutamaannya dalam proses kemasukan dan keberadaan penuntut di kampus, serta akan memastikan kemasukan penuntut ke kampus berjalan lancar.

Penuntut yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri, manakala aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), katanya.

Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah penuntut dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Untuk maklumat lanjut, penuntut dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:07 PM