UNIVERSITI Teknologi Malaysia di Skudai, Johor. FOTO arkib NSTP
UNIVERSITI Teknologi Malaysia di Skudai, Johor. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad.
am@hmetro.com.my


Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menetapkan hanya 6,000 penuntut dibenarkan masuk secara fizikal bermula 15 Oktober depan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, penuntut yang ingin kembali ke kampus perlu membuat permohonan.

Katanya, pihak universiti akan membuat pertimbangan dan keutamaan akan diberikan kepada penuntut yang berkeperluan.

"Kategori pelajar yang diberi keutamaan adalah seperti yang perlu menjalani Latihan Industri di kampus, mempunyai keperluan masuk kampus dengan ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pelajar berstatus khas, pelajar terjejas yang memerlukan ruang pembelajaran kondusif serta pelajar baharu kemasukan semester satu sesi 2021/22.

"UTM juga akan memastikan pelajar yang dibenarkan masuk adalah mengikut SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT agar dapat membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti berkelompok di kampus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, pihaknya juga akan menyelaras pergerakan penuntut memasuki kampus berdasarkan keutamaan dan pelan yang lebih terperinci akan diumumkan sebaik sahaja keperluan logistik telah dimuktamadkan dan disediakan.

"Pengangkutan pelajar pula adalah sama ada menggunakan kenderaan sendiri, dihantar oleh ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi, atau menaiki kapal terbang.

"Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan tetap dilaksanakan secara dalam talian dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:48 PM