Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kemasukan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac depan dengan jumlah yang dibenarkan antara 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti masing-masing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 Ke-12 semalam, memperhalusi cadangan daripada pihak KPT berhubung kemasukan pelajar ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

"Selepas mengambil kira pandangan dan syor daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan membenarkan kemasukan pelajar IPT KPT secara berperingkat mulai 1 Mac 2022.

"Dalam usaha memastikan kemasukan penuntut ini dilaksanakan dengan selamat, KPT bersama KKM menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, SOP itu membabitkan jumlah kemasukan penuntut yang dibenarkan adalah antara 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

"Penuntut dan kakitangan IPT yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus.

"Namun, bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap perlu membuat ujian RT-PCR dan keputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

"Ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata, bagi penuntut antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau sekiranya sudah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin adalah selama lima hari.

"IPT mesti mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan penuntut yang hadir secara fizikal serta sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan PdP secara hibrid atau secara dalam talian dibenarkan kepada IPT.

"Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM. Penuntut yang pulang ke kampus juga wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Dalam setiap kelonggaran yang diberikan kerajaan, aspek keselamatan dan kesihatan rakyat termasuk penuntut IPT tetap menjadi keutamaan," katanya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf serta penuntut supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dengan penuh berdisiplin dan bertanggungjawab.

"Sekiranya ibu bapa, penjaga mahupun penuntut mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, segera hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-88706777/6949/ 6623/6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:01 PM