ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Bako. FOTO Ihsan JBPM Sarawak.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Bako. FOTO Ihsan JBPM Sarawak.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 16 penduduk daripada empat keluarga yang mendiami sebuah rumah di Kampung Tanjung Bako, di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman itu terbakar awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.38 pagi.

Katanya, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi, namun jentera menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan terbakar kerana jalan kampung yang sempit.

"Api sedang marak ketika jentera pertama tiba dan pasukan bomba membuat pemadaman dengan teknik 'offensive firefighting' dan 'fire break' untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran," katanya.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 2.14 pagi namun, keseluruhan rumah berstruktur tidak kekal itu musnah sepenuhnya.

"Tiada kecederaan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.25 pagi," katanya yang memaklumkan punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 12:40 PM