Musnah terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
Musnah terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Roji Kawi


LIMA rumah terbakar menyebabkan 21 penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian kebakaran di Kampung Sourabaya Ulu, Petra Jaya, Sarawak, pada 7.30 pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan pada 7.50 pagi.

Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu lapan anggota dari BBP Tabuan Jaya dan dan lapan anggota dari BBP Padungan serta tiga anggota EMRS.

“Setibanya di lokasi, didapati tiga rumah berstruktur kayu sudah musnah sepenuhnya dan anggota bomba segera mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain yang kedudukannya rapat.

“Lima rumah yang musnah itu didiami 21 penghuni dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Siasatan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 11:47 AM