MOHAMAD Talaha (kiri) dan besannya, Bohri Abang, melihat keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Bako, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
MOHAMAD Talaha (kiri) dan besannya, Bohri Abang, melihat keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Bako, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Tindakan pantas seorang anggota tentera mengejutkan ahli keluarganya sebaik menyedari api mula marak, berjaya menyelamatkan 16 penghuni sebuah rumah di Kampung Tanjung Bako, di sini, dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, semua empat keluarga yang berusia antara lapan bulan hingga 59 tahun yang menghuni rumah terbabit sedang nyenyak tidur.

Pemilik rumah terbabit, Mohamad Talaha, 59, berkata pada mulanya, menantunya itu, Mohd Afia Misran, 27, terjaga selepas tercium bau asap.

Menurutnya, Mohd Afia bangun dan segera mencari punca bau itu sebelum ternampak api marak dari arah peti sejuk.

"Melihat api marak itu, dia menjerit mengejutkan kami serumah dan mengarahkan keluar segera.

"Saya juga sempat melihat peti sejuk yang terbakar itu dan melihat api marak dengan cepat," katanya.

Mohamad berkata keseluruhan rumahnya yang diperbuat daripada kayu hangus terbakar.

"Rumah kami dibina sejak lebih 30 tahun lalu dan struktur binaan yang sudah kering menyebabkan api mudah merebak.

"Mujurlah kami sekeluarga sempat keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya sambil memaklumkan semua barang termasuk dokumen peribadi mereka sekeluarga gagal diselamatkan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata semua 16 mangsa ditempatkan sementara di Dewan Badminton Kampung Tanjung Bako.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sudah menyalurkan bantuan awal kepada semua mangsa termasuk menyediakan lapan khemah yang akan menempatkan mereka di dewan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pula berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

Beliau berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 1.38 pagi.

"Jentera bomba menghadapi kesukaran untuk masuk ke rumah yang terbakar berikutan jalan di kawasan kampung itu yang sempit.

"Api sedang marak ketika jentera pertama tiba dan pasukan bomba membuat pemadaman dengan teknik 'offensive firefighting' dan 'fire break' untuk mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.14 pagi," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 2:45 PM