GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Bangkok: Thailand akan mempercepatkan program pemberian dos vaksin penggalak kepada rakyat negara itu bagi mengukuhkan kekebalan terhadap varian Omicron.

Ketika penularan varian baharu Covid-19 yang memberikan risiko lebih tinggi, Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, keperluan memberikan dos ketiga Covid-19 mampu mengurangkan tahap risiko buruk penyakit itu selain mengurangkan kadar kematian.

"Oleh itu, penerima vaksin kedua pada Ogos dan September boleh mendapatkan dos penggalak mereka sekarang," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, semalam.

Sementara itu, Taweesin berkata, Thailand mengesan sekurang-kurangnya lapan kes import varian Omicron.

"Bagaimanapun tiada bukti sebarang penularan komuniti," katanya.

Sehingga kini, Thailand sudah menyuntik 97.4 juta dos Covid-19 atau 69.3 peratus daripada penduduknya sejak kempen vaksinasi negara dilancarkan pada 28 Februari.

Lebih 43.3 juta penduduk atau 62 peratus sudah menerima dos kedua, manakala 4.1 juta sudah menerima dos penggalak.

Taweesin juga berkata, mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, semalam, meluluskan garis panduan untuk sambutan Tahun Baharu di negara itu.

Beliau berkata, restoran dan tempat makan terbuka akan dibenar untuk terus dibuka dan menghidangkan arak sehingga 1 pagi pada malam Tahun Baharu.

"Bagi acara yang dihadiri lebih 1,000 orang, peserta mestilah sudah lengkap divaksin dan negatif ujian saringan ATK dalam tempoh 72 jam sebelum acara bermula menerusi langkah-langkah Pelanggan Bebas Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 8:38 AM