BOMBA terbabit mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA terbabit mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki 54 tahun ditemukan tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini, semalam.

Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di lokasi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan, Jermal Safry Romli berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 4.10 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota kemudian mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter (m) ke lokasi mangsa ditemukan pengsan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 m bukit berkenaan.

"Pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan selama 30 minit kepada mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Safry berkata, berikutan lelaki terbabit masih tidak sedarkan diri, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi tindakan lanjut," katanya lagi.

Difahamkan, mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, sebelum itu melakukan aktiviti berkenaan bersama kira-kira 10 rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 8:10 AM