Lelaki warga Belgium (tengah) berusia 40 tahun, yang mengalami cedera dipercayai akibat digigit serangga berbisa ketika mendaki di kawasan bukit di Batu Feringghi, di sini, diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal. FOTO IHSAN JBPM
Lelaki warga Belgium (tengah) berusia 40 tahun, yang mengalami cedera dipercayai akibat digigit serangga berbisa ketika mendaki di kawasan bukit di Batu Feringghi, di sini, diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal. FOTO IHSAN JBPM
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bomba melakukan tugas khas menyelamatkan lelaki warga Belgium yang cedera ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Batu Feringghi, di sini, semalam.

Mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan berseorangan ketika mendaki bukit di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Safry Romli berkata, terdahulu pihaknya terima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.45 malam.

Katanya, 10 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi, mangsa dikenalpasti berdasarkan kedudukannya yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp.

"Kerja mencari dan menyelamat agak sukar berikutan gangguan liputan internet selain permukaan kawasan yang curam dan gelap," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Safry berkata, mangsa kemudian ditemukan pada ketinggian kira-kira 200 meter bukit berkenaan, jam 9.30 malam.

Katanya ketika ditemukan, mangsa mengadu sakit pada kaki kirinya dan sukar berjalan.

"Dipercayai kaki kiri mangsa digigit serangga berbisa menyebabkan dia tidak dapat berjalan turun dari bukit itu.

"Mangsa yang diselamatkan kemudian menerima rawatan awal oleh petugas perubatan di lokasi," katanya lagi.

Operasi tamat pada jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:21 AM