Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Peniaga di Pasar Awam Lebuh Cecil di sini terpaksa menjual ayam mentah pada harga RM12 sekilogram sejak dua hari lalu susulan kekurangan bekalan.

Peniaga yang enggan dikenali itu berkata, dia menjual bahagian ayam yang sudah dipotong pada harga berkenaan mengikut berat dan keinginan pelanggan.

"Sudah dua hari pembekal tidak menghantar bekalan sedangkan saya sudah membuat bayaran kepada mereka.

"Saya peniaga ayam, jika bekalan ayam tiada, saya mahu jual apa? Jadi terpaksalah saya jual dengan cara itu," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Peniaga terbabit berkata, dia berharap situasi itu tidak berpanjangan dan mereka boleh berniaga seperti biasa.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) mengenai Industri Pengeluaran Makanan memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

Sementara itu tinjauan di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, mendapati peniaga menjual sekilogram ayam pada harga RM10.

Peniaga ayam di Pasar Awam Jalan Patani, Muhammad Shamil Haja Mubarak Ali berkata, dia akur dengan harga yang ditetapkan walaupun sudah kerugian lebih RM12,000 sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, pada masa ini dia tidak mempunyai gangguan bekalan ayam kerana membeli daripada beberapa pembekal.

"Jika hanya bergantung kepada satu pembekal sahaja, sudah tentu saya akan mengalami nasib yang sama dengan pembekal lain.

"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera kerana yang menanggung kerugian adalah peniaga," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 5:54 PM
Peniaga masih menjual ayam dengan harga RM10.00 sekilo ketika tinjauan di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, walaupun harga RM8.90 seekor ayam yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa hari ini hingga 5 Jun. FOTO MIKAIL ONG
Peniaga masih menjual ayam dengan harga RM10.00 sekilo ketika tinjauan di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, walaupun harga RM8.90 seekor ayam yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa hari ini hingga 5 Jun. FOTO MIKAIL ONG