ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran Perodua Myvi. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran Perodua Myvi. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Gara-gara pembakaran sampah, sebuah kereta Perodua Myvi musnah terbakar di Parit 3 Timur, Sungai Panjang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.46 pagi.

Beliau berkata, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

"Ketika kejadian, pemilik kereta berusia 38 tahun berada di dalam rumah keluarganya.

"Kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah dan dipercayai merebak ke kenderaan terbabit.

"Pemilik kenderaan cuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api tetapi gagal. Dia kemudian menghubungi pihak bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hafisham berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:04 PM