Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Lelaki Myanmar ditemukan meninggal dunia dalam keadaan kepalanya berlumuran darah dipercayai akibat ditetak rakan senegaranya di belakang sebuah hotel di Seberang Jaya di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 2.45 petang mengenai seorang lelaki ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu, katanya, polis ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan mendapati seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 40-an sudah meninggal dunia.

"Polis mengesyaki mangsa ditetak dengan senjata tajam oleh rakan senegaranya.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, susulan itu polis menahan rakan senegara mangsa berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan.

"Ketika ditahan rakan senegara mangsa itu juga cedera di kepala dipercayai kerana pergaduhan dengan si mati. Suspek turut dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

"Punca pergaduhan suspek dan si mati masih dalam siasatan yang mana pihak polis memohon sekiranya terdapat saksi yang melihat kejadian itu dapat tampil membantu polis," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hidayat Saridin di talian 019-4474040 atau 04-5382222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 4:15 PM