GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis sudah mengambil keterangan rakan dan ahli keluarga lelaki yang maut ditetak dalam kejadian pergaduhan berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, keterangan rakan dan ahli keluarga mangsa itu diambil pada hari kejadian dan keesokan harinya.

Menurutnya, keterangan itu diperlukan bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut dalam usaha mengesan suspek pembunuhan itu.

"Ketika ini suspek sudah dikenal pasti masih bersembunyi dan usaha mengesan mereka giat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelima-lima suspek termasuk seorang wanita itu dilaporkan mengenali mangsa yang maut ditetak dan ditikam dengan senjata tajam dipercayai parang.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah akibat ditikam, dikelar dan ditetak seluruh badan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Sabtu lalu, mangsa berusia lingkungan 30-an dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) oleh orang awam untuk rawatan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan itu polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kejadian itu turut tular di media sosial melalui beberapa video dirakam orang awam yang melalui kawasan berkenaan yang memaparkan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan terdapat mangsa yang parah terbaring di atas jalan.

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 2:17 PM