Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


SEBANYAK 25,660 permohonan berjumlah RM195.97 juta diluluskan melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (Covid Business Recovery Micro – CBRM) melalui Tekun Nasional bagi membantu peniaga yang terkesan dengan impak Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya iaitu Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, UDA Holdings, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan usahawan mampu bertahan dalam menghadapi impak Covid-19.

"Antara inisiatif yang diambil dan dilaksanakan oleh MEDAC menerusi agensi di bawah kementerian ialah penyediaan pembiayaan kepada usahawan, penjadualan semula pinjaman, penangguhan bayaran balik atau moratorium pinjaman, latihan serta bimbingan keusahawanan secara dalam talian dan pelaksanaan program berimpak tinggi.

"Inisiatif yang ditawarkan agensi MEDAC ketika penularan wabak Covid-19 melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro sebanyak 25,660 permohonan sejumlah RM195.97 diluluskan setakat 17 Julai lalu.

"Skim Special Relief Facility oleh SME Bank menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM1 juta untuk tempoh 5.5 tahun kepada PKS dan sehingga 17 Julai lalu sebanyak 940 permohonan disalurkan dengan nilai sebanyak RM503.04 juta," katanya.

Wan Junaidi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mahu MEDAC memperincikan perancangan untuk memastikan PKS dapat melindungi pendapatan dan mampu bertahan sebagai antara pemain utama ekonomi pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, sebagai langkah memastikan usahawan dapat terus bertahan, pihaknya membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana di bawah enam strategi yang dilaksanakan dalam tempoh bermula Mei 2020 hingga Mei 2021 yang dijangka akan memanfaatkan lebih 20,000 penerima.

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 12:29 PM