GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


KANAK-KANAK lelaki meninggal dunia akibat lemas sewaktu mandi bersama dua sepupunya di Sungai Sekayu, Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa, Nur Iman Afiq Roshaizad, 11, dikatakan lemas selepas terpijak pasir jerlus ketika mahu naik ke tebing sungai.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang mandi bersama dua sepupu berusia 14 dan 10 tahun.

Beliau berkata, sewaktu tiga sepupu terbabit mahu naik ke tebing mereka terpijak pasir jerlus lalu tenggelam.

“Sebelum itu, sepupunya yang berusia 10 tahun sempat menarik tangan kiri mangsa. Manakala seorang lagi sepupunya memegang tangan kanak-kanak berusia 10 tahun berkenaan.

“Bagaimanapun, pegangan tangan mangsa terlepas sebelum hanyut dan tenggelam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sewaktu kejadian bapa saudara berusia 58 tahun berada di seberang sungai dan cuba mencari mangsa, tetapi gagal.

Katanya, susulan kejadian bapa saudaranya menghubungi ibu mangsa memaklumkan kejadian.

“Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan penduduk kampung berkenaan dan ahli keluarga mangsa.

“Pada 12.10 tengah hari, mayat kanak-kanak terbabit ditemui timbul di permukaan air oleh bapanya sebelum dibawa ke ke hospital dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Adli berkata, susulan kejadian bapa mangsa membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

Katanya, pihak polis sudah melakukan siasatan di lokasi.

“Bedah siasat dilakukan terhadap mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan punca kematian adalah disebabkan lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 11:06 PM