EMPAT kenderaan rosak dihempap pokok yang dirempuh bas di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya, hari ini. FOTO ihsan polis.
EMPAT kenderaan rosak dihempap pokok yang dirempuh bas di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Kecuaian pemandu bas tidak menarik brek tangan dengan sempurna menyebabkan kenderaan itu menggelongsor merempuh pokok sehingga ia tumbang menghempap empat kenderaan lain di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 10 pagi ketika pemandu itu meletakkan kenderaan itu di tepi jalan.

"Siasatan mendapati pemandu bas berusia 39 tahun itu meletakkan bas itu di tepi jalan untuk ke tandas berdekatan.

"Bagaimanapun, pemandu terbabit didapati tidak menarik brek tangan dengan sempurna menyebabkan bas melungsur dan melanggar pokok.

"Rempuhan bas itu mengakibatkan pokok tumbang sebelum menghempap empat kenderaan," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurutnya, pemilik kenderaan yang terkesan diminta supaya membuat laporan di balai berdekatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 2:30 PM