ANGGOTA bomba memotong pokok yang menghempap MPV.
ANGGOTA bomba memotong pokok yang menghempap MPV.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Jalan AST berhampiran Era Square, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu, lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu Perodua Alza dilaporkan selamat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Jefri Mohd Uzus berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 3.40 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan dan menghalang laluan.

“Namun, kita dapati pemandu kenderaan sudah keluar dan tidak cedera.

“Anggota kemudian menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok yang menghempap bahagian penumpang belakang kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Selain kejadian itu, Jefri berkata, pihak bomba turut menerima maklumat mengenai empat pokok tumbang di Jalan Seremban-Bukit Nenas berhampiran stesen bas Terminal 1, di sini.

Bagaimanapun, katanya kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan kenderaan dan kemalangan jiwa.

ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat sebuah kenderaan pelbagai guna  yang dihempap pokok di persimpangan lampu isyarat Jalan AST berhampiran Era Square.
ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat sebuah kenderaan pelbagai guna yang dihempap pokok di persimpangan lampu isyarat Jalan AST berhampiran Era Square.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:30 AM