ANGGOTA Bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) membersihkan sebuah pokok tumbang di Jalan Permai, Serdang malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) membersihkan sebuah pokok tumbang di Jalan Permai, Serdang malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Pantai Putra Permai, Serdang, 10 malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 10 malam sebelum satu jentera dengan kekuatan 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi mendapati, satu pokok sebesar pemeluk dewasa tumbang melintang ke jalan dan menghempap dua kenderaan.

"Pihak Bomba dibantu Agensi Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Toyota Vios dan Toyota Hilux berkenaan rosak di bahagian belakang dan badan kenderaan berkenaan.

"Namun tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini. Kejadian dipercayai berlaku akibat angin kuat menyebabkan pokok berkenaan tumbang.

"Kerja membersihkan pokok menggunakan gergaji berantai selesai kira-kira sejam berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 8:56 AM