Tinjauan di tempat Pusat Penempatan Banjir Sementara Taman Malihah lama yang dinaiki air dan Pusat Penempatan Banjir baru Taman Malihah di Sekolah Chung Hwa Sungai Tengah. FOTO NADIM BOKHARI
Tinjauan di tempat Pusat Penempatan Banjir Sementara Taman Malihah lama yang dinaiki air dan Pusat Penempatan Banjir baru Taman Malihah di Sekolah Chung Hwa Sungai Tengah. FOTO NADIM BOKHARI
Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat dengan seramai 1,826 mangsa daripada 507 keluarga ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, 23 PPS dibuka di Kuching yang menempatkan 1,250 mangsa daripada 337 keluarga.

Bahagian Serian pula membuka enam PPS yang menempatkan 452 mangsa daripada 133 keluarga.

"Bagi bahagian Samarahan pula, sebanyak dua PPS dibuka dengan menempatkan 95 mangsa daripada 33 keluarga.

"Di Miri pula, 29 mangsa daripada empat keluarga kini ditempatkan di dua PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, hari ini.

Ia membabitkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman manakala amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Keadaan dijangka diburukkan dengan air pasang besar diramal mencecah paras tertinggi 6.1 meter pada jam 6.19 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:20 PM