GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung seorang kakitangan Perbadanan Pengurusan Kondominium OG Height, di sini, yang didakwa melarikan wang pengurusan melebihi setengah juta ringgit.

Siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas menerima laporan dibuat pihak pengurusan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek wanita tempatan dikatakan menghilangkan diri bersama wang terbabit sejak September 2020.

"Siasatan awal mendapati suspek mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk yang berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat, sejak Julai 2016 hingga September 2020.

"Namun, tindakan siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan jumlah kerugian sebenar dan dokumen lengkap daripada pihak pengurusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Katanya, beberapa saksi kes sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini," katanya.

Beliau berkata, maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Semalam, Pengerusi Badan Pengurusan Kondominium OG Heights, Alvin Mah dilaporkan berkata, individu berusia 64 tahun hilang selepas memaklumkan perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

Laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di IPD Brickfields selepas wanita itu gagal dihubungi.

Selain dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan dana pengurusan bernilai RM150,000, wanita terbabit juga dipercayai melarikan beberapa fail milik badan pengurusan ketika menghilangkan diri.

Lebih mengejutkan pemeriksaan sebuah firma perakaunan forensik mendapati, nilai sebenar dana yang hilang ialah RM582,125.05, sepanjang 2017 hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 8:56 AM