ANTARA yang ditahan ketika serbuan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA yang ditahan ketika serbuan. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG lelaki menyewa kondominium mewah bagi mengadakan parti liar bersama rakan Wechat di Jalan Klang Lama, semalam.

Bagaimanapun, lelaki itu bersama tiga lagi lelaki dan enam wanita warga Thailand berusia 20 hingga 42 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang melakukan serbuan 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, serbuan berkenaan berjaya merampas dadah jenis ketamin anggaran berat 1.07 gram.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu menyewa kondominium berkenaan daripada rakan lain dan masuk ke rumah itu pada malam sebelum kejadian. Peserta yang hadir dijemput melalui aplikasi Wechat.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah. Mereka direman tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, kesemua suspek juga dikompaun RM1,000 setiap seorang bagi kesalahan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit sebarang aktiviti jenayah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang ingkar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 1:06 PM