FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dengan kejadian pecah masuk pejabat di sebuah kondominium di Kuchai Enterpreneurs Park di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua warga asing berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan kira-kira 7 malam berdasarkan kepada analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes pecah masuk pejabat di kawasan itu.

Menurutnya, pada mulanya polis menahan seorang warga asing berusia 23 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan berdekatan pondok pengawal di sebuah kondominium di kawasan berkenaan.

Katanya, lelaki itu kemudiannya membawa pihak polis ke sebuah rumah di dalam kondominium terbabit.

Dalam satu kenyataannya di sini, beliau berkata, lima lelaki warga asing berkenaan ditemui berada di ruang tamu rumah berkenaan dan siasatan awal polis mendapati empat daripada lima lelaki warga asing di rumah berkenaan mengaku melakukan pecah pejabat di sebuah premis di dalam kawasan Kuchai Enterpreneurs Park dekat sini.

Menurutnya, semua suspek direman hingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:18 PM