Zaid Salim


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil masa hampir satu jam sebelum menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang cuba menceroboh perairan negara, semalam.

Bot bersaiz kecil dinaiki enam lelaki warga asing itu ditahan di kedudukan kira-kira 72 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu pada 3 petang.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya terpaksa meredah ombak dalam usaha menghalang bot terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran asing terlepas memasuki kawasan sempadan perairan negara.

Katanya, bot dinaiki nelayan berusia 17 hingga 54 tahun itu ditahan Kapal Maritim (KM) Redang ketika melakukan rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di kawasan perairan sempadan antarabangsa.

"Bot berkenaan bersaiz kecil dan laju menyebabkan kita terpaksa mengambil masa lama mengejarnya yang cuba memasuki semula sempadan perairan antarabangsa bagi mengelak daripada ditahan.

Muhammad Suffi (kiri) bersama pegawai dan anggota memeriksa dokumen enam nelayan Vietnam termasuk seorang bawah umur kerana menceroboh perairan negara. FOTO SAID SALIM
Muhammad Suffi (kiri) bersama pegawai dan anggota memeriksa dokumen enam nelayan Vietnam termasuk seorang bawah umur kerana menceroboh perairan negara. FOTO SAID SALIM

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam kru termasuk tekong warga Vietnam dan mereka dikesan tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tekong bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasar hasil laut yang dirampas, pihaknya menjangka bot terbabit baharu melepasi kawasan sempadan perairan.

Katanya, pihaknya merampas kira-kira 10 kilogram hasil laut dan 500 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM500,000 termasuk bot dan peralatan menangkap ikan.

"Nelayan Vietnam dikatakan merekrut nelayan bawah umur bagi melakukan aktiviti pencerobohan.

"Ini kerana hukuman pesalah bawah umur tidak sama dengan nelayan dewasa kerana ia perlu mengikut beberapa proses yang ditetapkan," katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:13 PM