FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Wujudkan akademi tebar roti canai, itu hasrat kerajaan negeri yang mahu melihat Negeri Sembilan sebagai negeri pertama di negara ini memiliki pusat latihan kemahiran khusus untuk menebar roti canai secara formal.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, perkara itu bakal menjadi realiti dalam tempoh dua bulan akan datang.

"Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) dan Restoran Abang Terbang.

"Sehubungan itu, satu sesi perbincangan awal membabitkan semua pihak yang berkaitan sudah diadakan di Bangunan YNS, kelmarin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mengikut perancangan awal, satu silibus khas akan dirangka untuk dimasukkan dalam senarai kursus jangka pendek yang boleh ditawarkan oleh Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) kepada belia.

"Berdasarkan pengamatan saya, karier dalam penyediaan roti canai ini menjanjikan pulangan yang lumayan. Gaji sebagai penebar roti canai juga boleh tahan.

"Kalau dilihat, mana-mana gerai atau kedai makan yang menawarkan menu berasaskan roti canai, lazimnya sering jadi tumpuan pelanggan.

"Sebab itu, saya cuba wujudkan sinergi antara Restoran Abang Terbang dan YNS. Abang Terbang bukan sahaja kreatif dalam penghasilan roti canai, malah mempunyai pendekatan tersendiri dalam aspek promosi dan publisiti produk mereka," katanya.

Beliau berkata, kejayaan Restoran Abang Terbang di pekan Kuala Pilah mampu menjual antara 400 hingga 500 keping roti canai sehari pada hari bekerja dan antara 600 hingga 700 keping roti canai sehari pada hujung minggu boleh dijadikan inspirasi kepada belia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 2:19 PM