ZAMRI tidak menang tangan menebar roti canai yang dijual hanya RM 1.00 sekeping apatah dalam bahang menjelang PRU-15 di Kampung Balun. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
ZAMRI tidak menang tangan menebar roti canai yang dijual hanya RM 1.00 sekeping apatah dalam bahang menjelang PRU-15 di Kampung Balun. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Slim River: Tempias bahang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) turut dirasai peniaga makanan di Kampung Balun, dekat sini, Zamri Dam, 66, apabila kira-kira 130 roti canai habis dijual setiap hari.

Bahkan setiap hari sejak kempen PRU15 bermula, dia tidak menang tangan menebar roti canai di gerai yang menjual sarapan pagi itu.

Zamri berkata bahang PRU15 tidak sama dengan pilihan raya sebelum ini kerana suasana kempen nampak luar biasa mungkin disebabkan ramai calon yang bertanding.

Katanya, selain menikmati sarapan pagi yang disediakan, kebanyakan pelanggannya membincangkan topik panas berkaitan PRU15 dan calon yang bertanding di Parlimen ini.

"Mungkin roti canai RM1 menjadi faktor tarikan orang ramai mengunjungi kedai ini. Konsep perniagaan saya mudah sahaja iaitu jual dengan harga yang mampu supaya semua orang boleh menikmatinya," katanya ketika ditemui.

Zamri sebelum ini berkerja sebagai pembantu operasi sekolah dan mula terbabit dalam perniagaan makanan sambil dibantu oleh isterinya, Siti Norayah Nordin ,63, selepas bersara kira-kira lapan tahun lalu.

Selain roti canai, dia juga menjual roti sarang burung, roti telur, roti bawang, nasi lemak untuk sarapan pagi.

Dia yang juga anak jati Kampung Balun berkata dia mempelajari teknik membuat roti canai daripada rakan sebelum memulakan perniagaan berkenaan.

"Walaupun harga roti canai di sini agak murah tetapi rasanya tetap sama dengan roti canai yang dijual di mana-mana gerai atau restoran," katanya.

Zamri berkata permintaan terhadap roti canai bertambah terutama pada cuti hujung minggu yang boleh mencecah kira-kira 170 keping sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:50 AM