BERNAMA

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terrence Naidu, kononnya minumannya dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Kita sudah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga sudah membuat laporan polis mendakwa ada yang memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

"Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Ayob Khan ketika sidang media berkenaan rampasan dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Kontinjen Perak hari ini. FOTO BERNAMA
Ayob Khan ketika sidang media berkenaan rampasan dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Kontinjen Perak hari ini. FOTO BERNAMA

Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis lalu.

Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman 'aneh' sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kerana disyaki positif dadah.

Adun DAP itu berkata, sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan, beliau membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 2:59 PM