Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kes remaja dimandikan seperti 'jenazah' kerana mencuri tabung masjid di Rawang, Selangor kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak semula keputusan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, biarlah kes itu dikendalikan Mahkamah Tinggi tanpa sebarang ulasan PDRM buat masa ini.

"Polis tidak boleh beri pandangan begitu sahaja apatah lagi Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan akan menyemak semula hukuman yang dijatuhkan ke atas remaja berkenaan.

"Biarlah Mahkamah Tinggi semak dahulu hukuman remaja berkenaan yang dilaporkan esok. Buat masa ini PDRM tidak mahu mengulas mengenai kes ini.

"Siasatan polis sudah selesai dan remaja berkenaan juga sudah dituduh di mahkamah, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

Razarudin Husain
Razarudin Husain

Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja itu, Daniel Iskandar, 19.

Hukuman terhadap remaja itu dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Terdahulu, video remaja berkenaan tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' termasuk dilumur dengan kapur barus akibat cuba mencuri tabung masjid berkenaan.

Berikutan itu, ia mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial apabila ada yang menyokong tindakan pengurusan masjid sebagai pengajaran, namun setengah pihak yang lain menyifatkan tindakan kariah masjid memandikan remaja seperti jenazah itu bertentangan undang-undang dan keterlaluan.

Semalam pula, media melaporkan Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes remaja lelaki itu.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dilaporkan berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan mengikut Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 1:38 PM