DANIEL Iskandar menerima hukuman khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam di bawah program JKM selama enam bulan. FOTO Faiz Anuar
DANIEL Iskandar menerima hukuman khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam di bawah program JKM selama enam bulan. FOTO Faiz Anuar
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Datuk kepada Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, remaja yang dimandikan ala jenazah kerana cuba mencuri tabung masjid dan tular baru-baru ini, mengakui enggan mencampuri urusan cucunya itu lagi.

Rosli Sidek, 65, mengakui kurang senang apabila berita mengenai pendedahan dan tingkah laku cucunya itu dimanipulasi pelbagai pihak.

Beliau mengakui masih tidak dimaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap cucunya itu, hari ini.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu (keputusan mahkamah terhadap Daniel) dan tidak mahu mencampuri sebaran urusan lagi selepas ini," katanya kepada Harian Metro.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan terbabit dengan menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Minggu lalu, media melaporkan seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Daniel dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 3:45 PM