Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuang: "Saya mahu dia jadi manusia lebih berguna dan insaf selepas dibebaskan daripada penjara," luah Rosli Sidek.

Rosli, 65, adalah datuk kepada Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Selayang kelmarin, selepas didapati bersalah mencuri tabung masjid.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, hukuman diterima cucunya itu adalah titik permulaan untuk remaja itu berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna buat keluarga.

Katanya, hati datuk mana yang sanggup melihat cucu sendiri meringkuk di sebalik tirai besi walaupun hanya 10 hari.

"Saya akui sedih dengan apa yang berlaku namun tetap anggap ini adalah pengajaran terbaik untuk dirinya berubah.

"Apabila terima hukuman sedemikian, saya harap dia menukar sikap dan tidak lagi melakukan jenayah.

"Pada usia muda seperti ini, penjara bukan tempat untuknya namun jika itu adalah pengajaran terbaik, saya reda," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dia berharap, sebaik Daniel dibebaskan kelak, ada pihak yang sudi mengambilnya untuk menyambung pengajian di pusat tahfiz, institut kemahiran atau pusat pemulihan akhlak.

Katanya, jika dibebaskan kelak dan terus diberikan pekerjaan, dikhuatiri cucunya itu akan kembali kepada 'perangai' lama dan mungkin boleh mengulangi kesilapan sama.

"Saya nak dia masuk ke pusat tahfiz, institut kemahiran atau pusat pemulihan akhlak agar dia dapat menjadi insan yang lebih baik.

"Selepas selesai semuanya itu nanti, baru saya benarkan dia untuk bekerja dengan kemahiran yang dimilikinya," katanya.

Beliau berkata, Daniel diharap menjadi insan yang lebih baik dan apa yang dilakukan ini hanya kerana kasih dan sayang pada cucunya itu.

Remaja itu sebelum ini tular selepas didapati mencuri tabung masjid sebelum dimandikan ala jenazah oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah di Kuang.

Daniel dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis lalu kerana cuba mencuri tabung masjid.

Dia yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berita berkaitan

  • Pencuri dimandikan seperti 'jenazah' dipenjara 10 hari, denda RM4,000 [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 5:31 PM