MOHD Shahzihan Ahmad. FOTO arkib NSTP
MOHD Shahzihan Ahmad. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan meneliti pelbagai sudut sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan tindakan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang memandikan seorang remaja seperti jenazah selepas didapati cuba mencuri tabung masjid seperti tular di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jabatan itu maklum mengenai isu tular itu dan akan membuat penelitian daripada semua sudut.

"Bagaimanapun, Jais menasihatkan agar semua pegawai dan AJK masjid di Selangor sentiasa bertindak dengan bijaksana dalam semua perkara membabitkan pentadbiran hal ehwal masjid dan kariah.

"Pegawai dan AJK hendaklah sentiasa mengawal tingkah laku serta percakapan dan keputusan dibuat perlu dalam semangat mewujudkan posisi menang menang untuk pihak berkenaan.

"Keputusan itu harus menguntungkan umat Islam dan Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, seorang remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, yang memakai kemeja T berwarna biru selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah masjid itu di Kuang, Rawang, pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:51 PM