Oleh Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan, dakwaan remaja lelaki mencuri tabung masjid bertujuan membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, sebaliknya ia akan digunakan bagi mendapatkan bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, remaja berusia 19 tahun yang tular di media sosial kerana dimandikan 'ala jenazah' akibat cuba mencuri tabung itu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu sejak setahun lalu.

"Siasatan awal mendapati, remaja itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk membeli ubat datuknya seperti tular di media sosial.

"Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja itu.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang jam 11.58 malam, Sabtu lalu.

Sebelum itu, peguam Azman Abdullah yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia sudah insaf.

Anak guamnya dikatakan sudah memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid, manakala alasannya mencuri kerana memerlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:26 PM