Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Remaja yang dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid akan dibantu selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, Daniel Iskandar, 19, itu perlu dibantu kerana dia bukan sahaja masih muda tetapi turut mempunyai latar belakang yang mungkin menjadi penyebab dia terjerumus dalam kancah dadah.

"Saya sudah mengarahkan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) untuk mengesan Daniel selepas ini untuk melihat bagaimana dia boleh dibantu.

"Saya difahamkan Daniel ini mempunyai psikologi yang normal seperti yang lain cuma dia kurang bernasib baik... Mungkin dia tidak seteruk seperti yang digambarkan," katanya selepas Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah oleh MASAC di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dan Presiden MASAC, Ahmad Lutfi Abdul Latiff.

ABDUL Latiff menyampaikan Sijil Kompetensi Jurulatih Kepulihan kepada Siti Fatimah Mat Lazim sambil diperhatikan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin. FOTO Hairul Anuar Rahim
ABDUL Latiff menyampaikan Sijil Kompetensi Jurulatih Kepulihan kepada Siti Fatimah Mat Lazim sambil diperhatikan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin. FOTO Hairul Anuar Rahim

Media sebelum ini, melaporkan remaja yang videonya tular kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah.

Dr Latiff berkata,kes Daniel itu menjadi pengajaran untuk semua masyarakat mengambil iktibar dan membantu mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Penyalahgunaan dadah tidak berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang. Mungkin seseorang itu mengalami kesukaran seperti keluarga berpecah atau kurang mendapat kasih sayang.

"Masyarakat perlu bantuan dan memberi perhatian sekiranya mengesan dari awal lagi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu penyalahgunaan dadah yang masih membelenggu negara, Latiff berkat,a beberapa kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan perlu sentiasa duduk bersama bagi membincangkan isu ini.

"Sebagai contoh di Portugal, isu ini tidak lagi diletakkan dalam KDN tetapi Kementerian Kesihatan kerana ia dilihat sebagai isu kesihatan," katanya.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Katanya, program pertauliah yang dianjurkan Masac dan USIM adalah satu usaha yang baik dan perlu berterusan kerana ia mampu menjadi agenda penting dalam pencegahan penyalahgunaan dadah.

"Isu penyalahgunaan dadah ini tidak lagi dipandang sebagai jenayah semata-mata kerana ia berkaitan dengan isu kesihatan dan sekiranya ada mereka yang boleh memantau seperti doktor, sudah tentu ia boleh membantu ramai penagih untuk kembali ke jalan asal.

"Justeru saya berharap lebih ramai lagi ditauliah dalam program sebegini kerana saya difahamkan ada di antara mereka ini adalah bekas individu yang terjebak dalam aktiviti penagihan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 12:11 PM