KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Dua sahabat maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13 Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dekat sini tengah malam tadi.

Mangsa, Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25 dan pembonceng wanita, Shahri Azlin Ibrahim, 36, melambung sejauh 30 meter (m) sebelum terseret di atas jalan menyebabkan keduanya meninggal dunia serta-merta.

Difahamkan, mangsa adalah rakan sekerja.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian 12.01 tengah malam apabila dua mangsa yang menaiki Yamaha RXZ dari arah Kota Bharu menghala ke Perol.

"Dalam keadaan jalan yang agak gelap, sebuah kereta dipercayai Perodua Myvi berwarna oren melanggar bahagian belakang motosikal itu.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa melambung sejauh 30 m dan menyebabkan mereka terjatuh lalu terseret ke hadapan.

"Dua mangsa itu parah di bahagian kepala dengan pembonceng turut putus tangan kanan dan mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Perol," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, bagaimanapun kenderaan yang melanggar dua mangsa itu melarikan diri.

Katanya, berdasarkan serpihan komponen yang ditemukan di lokasi, pihaknya mengesyaki ia adalah Perodua Myvi berwarna oren.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pendawai elektrik dan beralamat masing-masing di Lorong Kubur Maras, di sini dan Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

"Kami sedang mengesan pemandu serta kenderaan itu dan sebarang maklumat atau saksi dipohon tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Inspektor Mohd Ikhwan Mamat di talian 013-9638060 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 8:17 AM