KEADAAN motosikal dan kereta yang terbabit kemalangan di berhampiran Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini, 10.15 malam tadi. FOTO ihsan Polis
KEADAAN motosikal dan kereta yang terbabit kemalangan di berhampiran Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini, 10.15 malam tadi. FOTO ihsan Polis
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang pelajar tingkatan tiga maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan selepas gagal memotong sebuah kereta di Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Aqil Rifqi Mohd Suhaimi, 15, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut di lokasi akibat cedera di kepala dan dada.

Sementara, pemandu kereta Perodua Viva lelaki berusia 41 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian kereta Perodua Viva dari arah Pasir Hor menghala ke Ketereh melalui lebuh raya itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, dengan tiba-tiba beberapa motosikal termasuk yang ditunggang mangsa cuba memotong kereta.

"Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan dia terjatuh dan terseret.

"Mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh penolong pegawai kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Menurutnya, punca kemalangan apabila mangsa gagal mengawal motosikal ketika cuba memotong kereta sehingga terjatuh di lokasi kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:39 PM