SUSPEK yang masih bebas dalam buruan polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang masih bebas dalam buruan polis. FOTO ihsan polis
Rosman Shamsudin


Ipoh: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditanam di kebun kelapa sawit di Bidor, Tapah pada tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pada 3 Oktober 2021, polis menerima laporan berkaitan seorang lelaki berumur 29 tahun dilarikan jam 10.22 malam.

Menurutnya, melalui laporan itu, pengadu memaklumkan pada 13 September 2021, ketika dia dan mangsa berada di kolam ikan dekat Kampung Poh, Bidor, mereka berdua diserang oleh dua suspek.

"Dua suspek menyerang mereka dengan kayu sebelum mangsa dipaksa masuk ke sebuah kenderaan.

"Pengadu juga diugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa sebelum suspek menghilangkan diri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai disebabkan masalah hutang antara mangsa dengan suspek dan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) kerana melarikan orang dengan salah.

Katanya, hasil risikan, polis berjaya memberkas seorang suspek berumur 30 tahun pada 11 Januari lalu di Kuala Langat, Selangor.

"Suspek mendedahkan bahawa mangsa dibunuh dan mayat ditanam di kebun kelapa sawit di Bidor.

"Berpandukan maklumat suspek, polis berjaya menemui mayat mangsa yang ditanam dalam keadaan dibungkus menggunakan kanvas," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, bedah siasat dijalankan terhadap mangsa bagi mengetahui punca kematian dan siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 KK atas kesalahan membunuh.

Katanya, hasil siasatan ke atas mangsa mendapati dia baru bebas dari penjara dan mempunyai 11 rekod sabitan lampau.

"Suspek ditahan reman selama empat hari dan mempunyai empat rekod sabitan kesalahan lampau.

"Polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Anbu Manikam bagi membantu siasatan kes terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek menyalurkan maklumat kepada Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 12:59 PM