FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua suspek kes culik dan bunuh seorang lelaki yang mayatnya dijumpai berbungkus dalam kanvas dan ditanam di kebun sawit dekat Bidor, Tapah, kelmarin direman tujuh hari mulai hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perintah tahanan reman ke atas suspek yang berusia 30 tahun dikeluarkan Mahkamah Majistret Tapah selepas menerima permohonan pihaknya.

Katanya, kedua-duanya akan direman sehingga 20 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya ketika dihubungi.

Mior Faridalathrash berkata, suspek kedua diberkas di Taiping pada 1 tengah hari semalam, susulan penahanan suspek pertama di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor, Selasa lalu.

Suspek pertama sebelum itu direman empat hari yang berakhir hari ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik. Mangsa berserta suspek bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit," katanya.

Katanya lagi, hasil bedah siasat ke atas mangsa yang berusia 29 tahun mendapati punca kematian akibat pelbagai kecederaan daripada senjata tumpul dan tajam.

Menurutnya, mangsa juga dipercayai dibunuh kira-kira tiga bulan lalu, bahkan mayatnya ditemui dalam keadaan reput selain punca kejadian akibat masalah hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:24 PM